Kenapa kita kena belajar?

by - Saturday, November 17, 2018

     Pernah tak terdetik kat dalam hati korang kenapa kita kena belajar? Buat apa belajar tinggi-tinggi kalau orang yang tak sambung belajar pun boleh berjaya. Belajar ni buang masa dan tenaga. Sebab sambung belajarlah banyak duit ibu ayah kita habis macam tu je. Kalau ibu ayah kita kumpul duit yang dorang bekalkan untuk kita sambung belajar selama ni, dah tentu mereka boleh pergi buat haji/umrah. Dah tentu boleh melancong. Lamaaaaaa dah hidup ibu ayah senang. Natijahnya, insan anugerah Tuhan inilah yang tak pernah merungut mahupun berkira bila anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke alma mater.  Ya, mereka ingin melihat kita berjaya. Masih segar dan sentiasa berlegar di ruang fikiranku. Terasa baru seperti semalam ibu mengeluarkan ayat itu. Sedang menunggu abang mendaftar untuk melanjutkan pelajarannya dalam ijazah sarjana muda, satu kata terungkap dari bibir ibu. 'Alhamdulillah, ibu tak kisah pun dengan keputusan SPM apa yang korang dapat, sebab SPM bukan kayu ukur untuk buktikan kita berjaya, tapi ibu rasa lega bila anak ibu dapat masuk universiti'. Satu tamparan hebat buatku pada ketika itu yang mana diriku masih lagi berada di bangku sekolah. Arakian, dengan iltizam yang tinggi, telah mencabar diriku untuk belajar sebaik mungkin sehingga sampai ke menara gading. Disebabkan ayat itulah, masihku utuh disini melanjutkan pelajaran dalam diploma perakaunan dan kini.... In shaa allah, tahun hadapan tamatlah gelaranku sebagai seorang pelajar diploma.       
     Namun, tak ramai yang mengetahui disebalik kemanisan kejayaan yang diperolehi seseorang itu, disitulah terselitnya ilmu hasil daripada 'BELAJAR'. Benar, belajar ni memang penat. Belajar ni memang susah. Tetapi, ilmu adalah wahana kita menyeberangi tengah arungan. Biar ombak dan badai melanda. Selagi prinsip dan panduan untuk mengemudi bahtera kita pegang erat, In Shaa Allah kita sampai ke destinasi. Kita adalah nakhoda, kalau kita jaguh mengemudi bahtera maka selamatlah kita daripada segala marabahaya. 
     Apa yang dapat dilihat pada masa kini, terlalu banyak ilmu yang boleh kita peroleh dari pelbagai sumber. Walakin, tak semua ilmu boleh diserap begitu sahaja. Justeru itu, kita perlu berguru dengan guru yang betul. Meskipun peranti mudah alih yang kita ada cukup memudahkan kita mencari segala maklumat untuk menimba ilmu baru. Ada terselitnya sedikit kecelaruan kefahaman ilmu itu sendiri. Sebab itulah, jika diberi pilihan untuk memilih belajar sendiri ataupun belajar secara berguru, tanpa dolak-dalik pilihanku adalah belajar dengan guru yang betul. Terkadang, usaha untuk menambah ilmu pengetahuan itu adalah sangat baik. Ia merupakan satu inisiatif individu itu untuk menambah nilai dalam dirinya. Sungguhpun begitu, pernahkah kalian berfikir sejenak tentang ilmu yang kalian peroleh? Adakah maklumat yang diperoleh itu sahih? Bolehkah kalian percaya dengan sepenuh hati? Tepuk dada tanyalah selera.
     Dengar sini, belajarlah selagi kalian mampu. Meskipun kita sedia maklum menuntut ilmu itu tak lah semudah seperti ABC lagi, namun ianya amat membantu kita menjadi lebih matang, mengubah mentaliti dan tanggapan negatif terhadap sesuatu benda. Belajar itu memenatkan, ya sangat memenatkan. Jika kalian mengalami masalah kewangan, usahalah mencari inisiatif memohon dana daripada pihak tertentu. Soal itu, usahlah terlalu kalian hiraukan kerana Allah itu Maha Pemberi Rezeki. Jika niat kita ikhlas dan betul dalam menuntut ilmu, In Shaa Allah kita akan dibukakan jalan. Kerana menuntut ilmu itu juga merupakan suatu jihad.
  Islam sangat mementingkan umatnya menuntut ilmu. Buktinya, wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah untuk sekalian umat adalah menerusi surah Al-Alaq. Ayat pertama surah Al-Alaq 'Iqra' yang bermaksud 'Bacalah' jelas menunjukkan pentingnya ilmu itu disebabkan oleh tindak-tanduk masyarakat Arab Jahiliah di mana pada ketika itu mereka jahil (jahala) diatas amalan-amalan yang menyesatkan dan tidak berperikemanusiaan. Bila fikir balik, sememangnya Allah itu Maha Berkuasa dan tidak akan ada galang gantinya. Allah tak turunkan wahyu menyeru umat terus sujud kepadanya. Allah turunkan wahyu menyeru umat manusia untuk membaca dahulu. Bayangkan, tanpa ilmu bolehkah kita terus menjadi cerdik? Tanpa ilmu Fardhu Ain tahukah kita bagaimana cara untuk melaksanakan solat?
     Sebab itulah, jangan pernah kita mengeluh mahupun putus asa dalam menuntut ilmu. Kita sebagai khalifah di muka bumi ini dan sebaik-baik ciptaan Allah hendaklah mentadbir alam ini dengan baik. Harus kita ingat bahawa dunia ini tak akan selamanya kekal kerana Akhirat adalah bersifat abadi. Dunia ini diciptakan sebagai tempat persinggahan untuk kita merantau berpenat mengumpul segala amalan kita, dan Akhirat lah tempat untuk kita berehat. Menuntut ilmu itu adalah Fardhu Kifayah. Justeru itu, jangan pernah pertikaikan rezeki seseorang itu dalam bidang yang diceburi. Tanpa seorang doktor, binasalah insan yang terlantar kesakitan. Tanpa seorang peguam, tidak akan terbela nasib mangsa yang tidak berdosa. Tanpa seorang auditor, siapa yang tahu kalau sesebuah entiti itu melakukan penipuan. Oleh itu, banggalah dengan diri sendiri jika kalian berpeluang untuk menuntut ilmu ke peringkat yang tertinggi meskipun kalian berada dalam bidang apa sekalipun. Selalu simpan dalam minda dan prinsip hidup kalian. Bidang yang kalian ceburi sekarang adalah untuk membantu masyarakat. Tidak akan mapan sebuah masyarakat madani itu jika tidak saling bekerjasama.
     Bidang IT ke, fisiologi ke, ekonomi mahupun apa jua bidang yang ada. Jangan pernah rasa kecil hati ketika disisih oleh masyarakat. Kerana itu adalah sebahagian daripada mentaliti masyarakat kita yang sukar untuk dihapuskan. Mereka akan memuji dan sanjung apabila kalian menjawat jawatan sebagai seorang doktor, peguam, jurutera, dan arkitek kerana hanya itu bidang pekerjaan yang nampak gah di mata mereka. Oleh itu, kita yang berada di dalam bidang yang tidak dikenali inilah harus menerangkan peranan kita kepada mereka. Ketika itu, pasti mereka tahu jika tidak ada kalian, pasti ada cacat cela dalam mentadbir alam ini.


You May Also Like

0 comments