Forum Remaja 2015
Baiklah, bismillahirrahmanirrahim. Sekian lama tidak mengemaskini blog. Pada kali ini, saya akan menceritakan pengalaman saya pertama kali mengikuti Pertandingan Forum Remaja 2015. Kita teruskan dengan menggunakan Bahasa Melayu baku. Haha
Objektif utama forum remaja diadakan untuk meningkatkan dan menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah. Sesuai benarlah dengan topik perbincangan kami iaitu 'Bahasa dan Budaya Memantapkan Integrasi Kaum'. Sebenarnya, pertandingan forum remaja telah cukup memberikan impak yang besar buat saya dan rakan sepasukan saya dalam usaha memantapkan integrasi kaum melalui bahasa. Meskipun rakan sepasukan saya berbangsa dusun, murut, dan melayu, namun sama sekali tidak menjadi penghalang buat kami untuk bekerjasama sebagai satu pasukan. Bayangkanlah, pada mulanya kami bekerjasama sebagai satu pasukan, hendak meminjam sebatang pen pun berasa sangat malu. Tetapi, kerana forum lah membuatkan kami semakin akrab meskipun daripada bahasa dan budaya yang berbeza. Maksudnya di sini, objektif utama boleh diterima bukan? (perasan).
Forum Remaja sememangnya membantu saya memperbaiki penggunaan Bahasa Melayu. Alhamdulillah, sekolah saya mendapat tempat kedua dalam pertandingan forum remaja peringkat daerah 2015. Meskipun kami mendapat tempat kedua daripada sebelas sekolah, jauh di sudut hati rasa agak sedih kerana sekali lagi kami tidak berjaya mengambil kembali kejuaraan yang hilang tahun lalu. Sekolah saya merupakan sekolah yang aktif dalam menyertai pertandingan forum remaja. Pada tahun 2012, sekolah saya pernah mewakili Sabah dalam pertandingan forum remaja dan mereka berjaya mendapat tempat keempat di peringkat kebangsaan. Jadi, rasa agak sedih apabila gagal sampai ke peringkat tertinggi. Pemilihan peserta forum dijalankan dengan masa yang singkat. Ujian prestasi 1, cuti penggal pertama merupakan halangan terbesar kami. Latihan kami tidak seberapa, oleh kerana kekangan masa. Tetapi, syukurlah setidaknya kami tidak membuat rekod baharu dengan tidak mendapat nombor dalam pertandingan ini (Fuhh!).
Setibanya hari pertandingan, jujur dikatakan saya tidak rasa gementar (kegagalan reseptor berfungsi agaknya). Berada di atas pentas pun seakan latihan yang biasa kami lakukan (tak takut lah sangat, minum air pun sampai 2 botol) *sebenarnya rasa haus teramat sangat, bukan kerana takut sampai minum air berbotol-botol*. Terus terang, saya lebih rasa takut ketika membuat latihan di dewan sekolah sendiri. Rasa bersalah mula menyelubungi diri ini bila mana berkemungkinan saya penyebab masa terlebih ketika menjawab soalan spontan. Serius, soalan kami KBAT. Soalan yang diajukan kepada pasukan lain boleh dikatakan aras rendah (*sedih* nangis laju-laju). Tetapi kata orang, jadi profesional lah kan? jawab sahaja soalan yang diajukan dengan yakin.
Memandangkan saya merupakan pelajar tingkatan 5, maksudnya saya tidak berpeluang lagi untuk menyertai pertandingan ini pada tahun hadapan. Kepada adik-adik yang bakal mewakili sekolah untuk forum tahun hadapan, buat yang terbaik. Berusahalah untuk mengambil kembali kejuaraan yang hilang itu.
Terima kasih kepada rakan-rakan panel saya yang memberi tunjuk ajar dan membetulkan saya jika saya melakukan kesilapan dari segi intonasi, bahasa, sebutan, gaya dan bermacam lagi. Pengemudi bahtera forum (pengerusi) iaitu Nur Anis Syazana, Panel 2 Nurul Atikah, Panel 3 Norasyikin dan simpanan iaitu Alice. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa saya merupakan panel 1 (perlukah saya bagi tahu?) . Tahniah kepada Nurul Atikah kerana berjaya dinobatkan sebagai Panel Terbaik daripada 33 orang peserta. Rasa rindu yang teramat sangat dengan forum apabila mereka chat menggunakan gelaran 'saudari' dan Bahasa Melayu baku seperti mana digunakan dalam forum (nak nangis. Sobb sobb).
Berikut adalah beberapa keping gambar yang diambil ketika berada di SM Ken Hwa sebagai tatapan hati.
Terima kasih juga diucapkan buat cikgu yang melatih kami. Terima kasih juga buat adik-adik tingkatan 4 yang sudi bersama-sama kami memberi dorongan dan sokongan. Tidak terbalas rasanya jasa baik kamu semua, hanya doa yang mampu dikirimkan agar peroleh kebahagian dan kejayaan dunia dan akhirat. In shaa allah, amiin. Smk Keningau 2 melakar memori indah buat diri saya untuk tahun 2015. Selamat tinggal forum dan selamat datang SPM ! Sekian ...
0 comments